Kalau sudah namanya manusia, mana ada yang betul-betul serupa. Jika kembar sekalipun, pasti ada yang tak sama. Jika manusia itu setiapnya berbeza, maka perbezaan itu juga wujud antara kaum adam dan hawa. Perbezaan ini bukanlah nak menunjukkan kelemahan dan kekurangan kerana setiap perbezaan antara orang lelaki dan perempuan itu perlu dianggap satu kelebihan. Jadi apa yang menjadikan orang lelaki dan perempuan ini berbeza? John Gray, ahli psikologi dan penulis terkenal mengatakan bahawa ‘men are from Mars, women are from Venus’. Beliau menggambarkan seolah-olah lelaki dan perempuan datang dari planet yang berbeza! Sekarang mari kita lihat apa yang tersenarai dalam perbezaan lelaki dan perempuan itu.
Dalam aspek komunikasi, berbanding perempuan, lelaki lebih banyak mendengar daripada bercakap. Orang perempuan kebiasaannya dikatakan sangat suka bercakap sehinggakan ada yang memberi contoh, 4 orang perempuan kalau bertemu dan berbual, masing-masing ingin bercakap, hingga tak tau siapa yang dengar. Orang lelaki memberi tumpuan pada apa yang didengarnya. Mungkin anda pernah berkata sesuatu dengan suami anda tetapi seolah-olah suami anda tidak memperdulikan anda. Nasihat saya, jangan cepat nak marah. Kemungkinan besar suami anda sedang menumpukan perhatian pada apa yang anda katakan itu. Bukannya dia tidak mendengar, tetapi khusyuk mendengar.
Sebelum saya terlupa, orang lelaki apabila mereka menceritakan maslaah mereka kepada orang lain, itu maksudnya mereka inginkan bantuan. Tetapi hal ini kebiasaannya tidak bagi orang perempuan. Orang perempuan yang menceritakan masalah mereka biasanya inginkan orang lain prihatin serta memberi perhatian terhadap masalah yang mereka hadapi. Sebab itu, orang lelaki jika ingin mengambil hati wanita, jangan sekali-kali cuba memberi pelbagai nasihat dan pandangan untuk menyelesaikan masalah mereka. Ini mungkin akan menjemukan mereka. Ingat, mereka inginkan perhatian anda, bukan pandangan anda tentang apa yang harus mereka perbuat. Nasihat itu perlu juga, tetapi janganlah terlalu berlebihan tanpa menunjukkan betapa prihatinnya anda terhadap diri mereka.
Dari aspek yang lainnya pula, orang lelaki tidak seperti orang perempuan yang sangat terperinci dan teliti. Orang perempuan mengambil berat tentang tarikh-tarikh istimewa, kenangan dan hal-hal lalu dan lain-lain perkara yang mungkin orang lelaki sudah tidak berminat untuk ambil tahu. Minda orang perempuan sangat terperinci dan mementingkan ‘details’. Hal remeh temeh pun diambilkira. Sebab itulah orang perempuan boleh mengungkit perkara yang sudah berlaku bertahun-tahun lamanya yang mana bagi orang lelaki, sudah tidak relevan untuk difikirkan lagi.
Sebenarnya ini adalah kelebihan orang perempuan. Dengan minda dan cara berfikirnya begitu, mereka boleh menjadi seorang ibu dan penjaga yang baik. Sedang mereka memasak di dapur contohnya, mereka boleh memikirkan mengenai anak mereka yang bersekolah, baju yang belum dibasuh, barang-barang dapur yang hampir habis dan macam-macam lagi. Mereka ini multitasking! Jika dilihat dari segi penglihatan orang perempuan, pandangan mereka meliputi 120 darjah (peripheral vision). Sebab itulah mereka boleh nampak lebih terperinci berbanding lelaki yang hanya mempunyai penglihatan meliputi 60 darjah (tunnel vision). sabar dulu, 60 darjah pandangan lelaki sebenarnya menjadikan orang lelaki berkebolehan memberikan fokus dan tumpuan yang tinggi berbanding wanita. Mereka melihat jauh kehadapan. Mungkin sebab itulah kadang-kadang, orang lelaki bila cari barang tak jumpa walau didepan mata. Oleh sebab itulah, orang perempuan jangan marah kalau suami atau pasangan anda tak perasan anda disebelah, tetapi perasan isteri atau pasangan orang lain dihadapan.
Kita semua mungkin maklum bahawa wanita ini kejadiannya halus. Lihat saja kulitnya. Halus dan mulus tak seperti kulit lelaki yang agak kasar dan lebih tebal. Kulit orang perempuan yang nipis menjadikan mereka lebih terkesan dengan sentuhan dan belaian dari orang lelaki. Orang perempuan memang inginkan mereka selalu disentuh dan dibelai oleh pasangan mereka. Ingat, sentuhan tidak semestinya hubungan seksual saja. Orang perempuan bukan saja memiliki fizikal yang halus tetapi hati dan perasaan mereka juga halus, sensitif dan mudah tersentuh. Mungkin jika mereka menonton filem sedih bersama pasangan mereka, mereka yang akan menangis dulu. Sebab itu, orang lelaki janganlah sekali-kali mempermainkan perasaan orang perempuan. Bila mereka putus cinta dan kecewa, derita mereka lebih dari lelaki yang putus cinta.
Sebenarnya, banyak lagi perbezaan yang perlu anda tahu. Namun rasanya setakat ini sajalah yang dapat saya kongsikan bersama anda. Kalau tulis berjela-jela, nanti nampak macam tesis pula. Segala yang anda baca tadi adalah ilmu dari maklumat yang saya kutip dari bahan bacaan di internet, ceramah dan sebagainya. Ingat, mengetahui perbezaan-perbezaan ini bukanlah untuk merendah atau meninggikan sama ada lelaki atau perempuan tetapi untuk kita semua lebih menghargai dan menghormati sesama kita. Buat para suami isteri, semoga dengan mengetahui perbezaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan anda.

Posted in
Tags: