Masih terasa lagi rotan yang pernah menghinggap di telapak tangan saya. Walaupun saya bukan budak nakal di sekolah, tetap kena rotan juga. Biasalah, tak siap kerja sekolah. Kadang-kadang, kena ketuk ketampi lah, berdiri atas meja lah dan yang paling syok, berdiri kat luar kelas. Syok sebab mungkin tak payah belajar dalam kelas. Tapi malu juga bila pelajar perempuan terutamanya yang lalu lalang di perkarangan kelas. Boleh jatuh saham tu. Apapun, biarlah apa cikgu nak buat, asalkan jangan main kepala. Nasihat saya kepada cikgu-cikgu sekalian, tolong jangan sekali-kali hukum kat kepala. Apa juga bentuk pun termasuklah tampar, luku, ketuk, tonyoh dan sebagainya. Kepala tu tempat letaknya otak. Tolong hormat sikit ya. Jadi, berbalik pada isu yang saya nak ketengahkan kali ini, ia mengenai suatu bentuk hukuman yang sedia ada dilaksanakan di sekolah.
Saya tak ada masalah dengan hukuman berbentuk sebatan ringan yang biasa macam di tapak tangan dan di punggung. Tapi, apa yang saya musykilkan dari dulu sampai sekarang adalah hukuman gantung dan berhenti sekolah. Sebenarnya, apa signifikan atau pentingnya sekolah bagi hukuman? Adakah semata-mata mahu menyakitkan, menyusahkan ataupun ingin mendidik dan memperbetulkan sikap pelajar? Kalau pelajar dihukum gantung atau diberhentikan sekolah kerana ingin menyedarkan mereka, suka saya katakan bahawa teknik ini sudah jauh menyimpang dari tujuan mendidik, mahupun memberikan kesedaran. Adakah pihak sekolah mengharapkan pelajar itu sedar sebaik saja digantung lalu berkata “Oh, aku digantung sekolah! Baru kusedar bahawa sekolah itu amat penting bagi pembentukan masa depan ku yang cerah. ” Aduhai, tolonglah. Mungkin mereka akan cakap macam tu tapi bukan sekarang, bukan tak lama selepas digantung, tapi mungkin bila mereka sudah tua nanti.
Perlu diingat bahawa pelajar yang digantung atau dibuang sekolah biasanya daripada kelompok pelajar yang nakal. Tidakkah anda semua terfikir bahawa hukuman gantung atau berhenti sekolah kemungkinan besar mereka anggap bukan sebagai hukuman, tetapi sebaliknya GANJARAN. Orang yang malas belajar, disuruhnya berhenti belajar. Wah, gembira di hati bukan kepalang. Ingat, gantung atau berhenti sekolah hanya berkesan pada orang yang betul-betul mahu belajar. Mereka dijamin sedih dan kesal sekiranya digantung atau diberhentikan sekolah. Tapi, ada ke orang yang sungguh-sungguh menuntut ilmu buat masalah di sekolah? Betul tu, jawabya TIDAK. Jadi, hukuman gantung atau berhenti sekolah untuk pelajar-pelajar nakal harus dipandang sebagai tidak relevan, lapuk dan ketinggalan zaman. Malah, hukuman itu jika diamati betul-betul, boleh menjadi medium untuk pihak sekolah bertindak lepas tangan, tidak mahu bertanggungjawab terhadap pelajar yang diamanahkan oleh ibubapa supaya diberi didikan yang sempurna. Dalam kes ini, sekolah bukan saja tidak bertanggungjawab, malah boleh merosakkan masa depan pelajar. Jadi, apa perlu dibuat?
Hukuman disekolah harus bersifat mendidik. Selagi mana seseorang itu bergelar pelajar sekolah, proses pendidikannya harus terus berlangsung tanpa ada pengabaian. Ini juga satu bentuk perlindungan kepada pelajar tersebut. Daripada hidup terumbang-ambing akibat tiada ilmu dan pelajaran, sekurang-kurangya pelajar ini dapat dilindungi dengan adanya ilmu dan didikan yang teratur. Maka, daripada digantung atau dibuang, lebih baiklah mereka ini diberi didikan, asuhan dan perhatian yang lebih dengan kaedah yang lebih baik. Sekolah adalah agen sosial yang memainkan peranan yang besar dalam pendidikan dan ia harus tetap menjalankan fungsinya walaupun pada mereka yang dianggap sudah tidak mahu belajar lagi. Bagaimana harus mendidik mereka, dengan bentuk apa, itu saya serahkan pada para ahli, penguasa dan bijak pandai. Asalkan mereka dididik dan bukan diabai.





